orang datang singgah

Friday 30 December 2011

biar sampai ke syurga






saya perlu menikah. Sangat perlu.

mungkin saya tiada hak untuk bertanya, tetapi KENAPA? Bukan kenapa nikah, tetapi kenapa begitu terdesak?

tidak tenteram. Ada gelodak jiwa.

oo. Kalau macam tu, selepas menikah, kalau sudah tenteram dan jiwa kembali tenang, apa seterusnya?

tenteram bukankan sentiasa diperlukan? Jadi kenapa mesti ada SETERUSNYA itu? Saya keliru.

izinkan saya merungkai kekeliruan saudara. Jika tenang dan tenteram yang saudara maksudkan itu pada nikmat beristeri dan menikmati isteri, hati – hati dengan dengan tabiat nikmat dunia.

tabiat yang bagaimana?

kalau saya pakar masak sambal sotong, ustaz hidangkan kepada saudara untuk kali pertama, ALHAMDULILLAH. Tengah hari nanti sambal sotong juga,  ALHAMDULILLAH. Makan malam nanti sambal sotong lagi, ALHAMDULILLAH. Bagaimana jika sarapan keesokan hari juga sambal sotong dan tengah hari itu juga berlaukkan sambal sotong? Mampu kamu menjamahnya?

aduh. Boleh muntah ustaz. Jangan ya.

kan? Segala nikmat dunia, biar sesedap mana pun, sedapnya semasa lapar, semasa bujang, semasa belum merasa. Tetapi sesudah rasa, diulang rasa, berterusan merasa, boleh saja yang sedap menjadi sebaliknya.

jadi apa yang ustaz cuba memberitahu saya?

pernikahan, jangan sekadar satu penyelesaian. Ia harus lebih besar dari itu.



Tidak salah untuk percaya bahawa pernikahan boleh menyelesaikan masalah. Itulah hikmahnya pada sunnah bernikah.
Yang menimbulkan kerisauan ialah apabila sebuah ikatan perkahwinan mahu dilangsungkan hanya untuk menyelesaikan masalah tertentu, dan sesudah selesai masalah itu, perkahwinan itu hilang tujuan! Menjadikan perkahwinan sebagai jalan penyelesaian, hanyalah sebuah hasrat berupa perancangan jangka pendek. Sedangkan untuk sebuah rumah tangga terus membuka laluan sampai ke syurga, ia perlu kepada perancangan jangka panjang. Sepanjang kehidupan.

“ aku bosan tengok orang rumah aku. Salahkah aku punya rasa sebegitu? “
Bagaimana boleh bosan? Untuk mencari jawapan itu, persoalkanlah pada diri sendiri tentang tujuan perkahwinan.

“ kami sering berjumpa. Saya bimbang hati terus terfitnah memikirkan tentangnya. ALHAMDULILLAH, saya tidak bertepuk sebelah tangan. “

Semasa kita mengejar sebuah ikatan perkahwinan sebagai jalan keluar kepada apa – apa sahaja masalah yang sedang dihadapi, syukur jika masalah itu selesai, dan syukur jika masalah itu belum selesai. Sekurang – kurangnya kita punya sesuata yang perlu diselesaikan semasa di alam perkahwinan. Namun, bagi yang masalah sudah selesai pada tahun satu pernikahannya, apa lagi cita – cita dan azam yang ada dalam visi dan misinya bagi melangsungkan usia perkahwinan?
Daripada gelisah menjadi tenang dengan menikah. Timbul jemu, mahu membatalkan pernikah untuk mencari ketenangan?

NAUZUBILLAH.

Perkahwinan menyelesaikan, tetapi ia bukan sekadar sebuah penyelesaian. Ia sebuah gagasan.
Impian yang memerlukan pandangan jauh sampai ke usia tua, sampai cangkul dan tanah memisahkan jiwa, sampai ke liang lahat, sampai kalian ke syurga!
Jadikan perkahwinan itu sebagai kenderaan yang akan membawa dirimu ke syurga akhirat. Jangan sekadar syurga dunia.


No comments:

Post a Comment